Monday 13 May 2013

Persekutuan Pengakap Malaysia



Persekutuan Pengakap Malaysia, PPM (The Scouts Association of Malaysia) merupakan sebuah organisasi yang bertanggungjawab di atas semua aktiviti berpengakap di Malaysia. PPM merupakan sebahagian daripada pergerakan pengakap dunia dan juga merupakan a hli kepada World Organization of the Scout Movement (WOSM).

Di Malaysia, Pengakap mula diperkenalkan dalam tahun 1908 dan secara rasminya ditubuhkan pada 2hb Julai 1910 dan merupakan salah satu badan beruniform yang berada dibawah Akta Parlimen Malaysia. PPM berdaftar sebagai ahli dengan WOSM pada tahun 1957.

Matlamat penubuhan PPM adalah untuk menyediakan latihan kepimpinan yang berasaskan kepada prinsip dan undang-undang pengakap dengan matlamat mempertingkatkan kesedaran dan semangat tolong menolong tanpa mengira warna kulit, agama dan kebudayaan. Penubuhan PPM juga bermatlamat membina keseimbangan individu dari segi intelektual, kerohanian dan fizikal bersandarkan kepada kepercayaan kepada Tuhan. Bagi mencapat matlamat ini, pelbagai aktiviti dan langkah diambil bagi membentuk disiplin dan jati diri, kesopanan di samping rasa tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat dalam usaha merealisasikan matlamat pergerakan pengakap dalam melahirkan masyarakat atau individu yang berguna kepada agama bangsa dan negara.

Persekutuan Pengakap Malaysia beribupejabat di Rumah BP, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur. Secara umumnya organisasi pergerakan pengakap dibahagikan kepada beberapa badan. Setiap negeri diketuai oleh Pesuruhjaya negeri (state commissioner) dan kemudiannya dipecahkan kepada peringkat daerah bagi setiap negeri dimana setiap daerah ketuai oleh pesuruhjaya daerah (district commissioner). Setiap trop dipecahkan kepada beberapa sistem patrol yang mempunyai ketua patrol dan pembantu ketua patrol. Sebuah badan yang dinamakan Majlis ketua Patrol (Patrol Leader Council) akan merancang dan melaksanakan aktiviti trop dengan bantuan dan selenggaraan dari pemimpin trop (troop's scoutmaster). Majlis Ketua Patrol disertai oleh ketua patrol dan pembantu sekiranya bilangan ketua patrol terlalu kecil. Melalui Majlis Ketua Patrol, Ketua Patrol akan dipilih dan dilantik kejawatan Ketua Trop, Pembantu Ketua Trop, Setiausaha, Bendahari dan juga quatermaster.Badan ini dikenali sebagai 'Court of Honour' dan merupakan badan paling ekslusif didalam sesuatu Trop.

MATLAMAT BERPENGAKAP
Melatih generasi muda bagi melahirkan individu yang berpotensi dari segi perkembangan fizikal, intelek, sosial dan kerohanian serta bertanggungjawab kepada masyarakat, negara dan masyarakat antarabangsa.

MISI PENGAKAP MALAYSIA
Memberi sumbangan pendidikan tidak formal kepada generasi muda melalui sistem nilai berasaskan Persetiaan dan Undang-undang Pengakap, bagi membantu Membina dunia yang lebih baik, penduduknya boleh berdikari sebagai individu serta dapat memainkan peranan yang berguna untuk masyarakat dengan :
  • Penglibatan sepanjang tahun dalam proses pendidikan tidak formal.
  • Menjadikan setiap individu agen utama pembangunan diri ke arah berdikari, bertanggungjawab dan komited.
  • Membina sistem nilai berasaskan prinsip-prinsip kerohanian, sosial dan peribadi seperti yang ternyata dalam Persetiaan  dan Undang-undang Pengakap.

No comments:

Post a Comment